October 2, 2018

Sejarah Kami

Pengenalan Madrasah Tahfiz Al Quran At Tanwiriah

Profil Kami

Perjalanan Madrasah Tahfiz Al-Quran At-Tanwiriah bermula dengan hasrat Al-Fadhil Tuan Guru Hasbullah Bin Haji Salleh yang ingin mewujudkan sebuah institusi pengajian Tahfiz Al-Quran di Parit Jawa, Muar.

Tahun 2007, menyaksikan Tuan Guru Haji Hasbullah sendiri telah memulakan usaha menyusun dan merancang bagi mendirikan sebuah madrasah tahfiz di atas tanah yang diwakafkan oleh penduduk setempat di Parit Jawa.

Beliau mula mengumpul tenaga penggerak antaranya Ustaz Kamalulnizam bin Mohd Suhut dan beberapa individu lain bagi menyusun dan mengerakkan penubuhan madrasah tahfiz di peringkat rendah dan menengah berbekalkan kewangan yang sangat terhad.

Tanggal 5 Januari 2009, bermulalah pengambilan pelajar-pelajar di peringkat Sekolah Rendah Islam seramai 20 orang dan di peringkat Madrasah Tahfiz Al-Quran seramai 22 orang pelajar dengan dokongan guru-guru seramai 5 orang pada masa itu yang kesemuanya bernaung di bawah Madrasah Tahfiz Al-Quran At-Tanwiriah.

“Alhamdulillah Madrasah Tahfiz Al-Quran At-Tanwiriah terus berkembang dan mengorak langkah dengan menubuhkan Sri Aulad pada tahun 2014 dan Sekolah Menengah Islam At-Tanwiriah Tahfiz (SMATT) pada tahun 2015.
Pada tahun 2018, Madrasah Syahadah Tahfiz Al-Hidayah ditubuhkan bagi menempatkan persediaan pelajar menyambung pengajian ke luar negara. Sehingga kini, Madrasah Tahfiz Al-Quran At-Tanwiriah mempunyai pelajar seramai lebih kurang 450 orang pelajar dan lebih kurang 70 orang guru dan kakitangan sokongan.”

Menyediakan pendidikan agama dan penghayatan Al-Quran yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membina satu generasi Al-Quran berkualiti dalam menghadapi kehidupan dunia moden yang penuh cabaran.

Memberikan kesedaran dan rasa tanggungjawab kepada masyarakat betapa pentingnya pendidikan agama dan pengetahuan tentang Al-Quran dan As-Sunnah sebagai benteng kekuatan diri dari segala bentuk anasir yang tidak sihat bagi melahirkan generasi yang beriman.

  • Menyediakan peluang kepada ibu bapa bagi memberikan pendidikan agama dan Al-Quran kepada anak-anak bermula dari peringkat awal lagi.
  • Menyediakan proses pendidikan yang menjuruskan kepada pembentukan akhlak mulia, berilmu dan beramal dengan ilmu yang dipelajari.
  • Mendidik jiwa anak-anak dengan Islam serta melatih anak-anak menghafaz dan menghayati Al-Quran.