Tahniah Kepada Penaja, Pewakaf,Guru-Guru dan Ibu Bapa Anda Semua Ada Saham Di Sana..IshaAllah

Alhamdulillah, Ust Sulaiman Umar sekarang sudah menjadi guru di Madrasah An Nikmah, Kg Preak Sangkae, Wilayah Shihanoukville Kemboja .

Siapa Ust Sulaiman????????

Ceritanya bermula pada tahun 2014 ketika kumpulan Qurban Amal menguruskan misi korban di Wilayah Shihanoukville. Selain program korban, kami juga melakukan kerja-kerja kebajikan yang lain seperti menguruskan WAKAF telaga, sumbangan pakaian, ziarah orang-orang kampung , madrasah-madrasah dan lain-lain lagi.

Saya bersyukur kerana ramai individu serta pelbagai pertubuhan samada dari Malaysia dan lain-lain tempat memberikan bantuan kepada saudara seIslam di Kemboja. Ada yang datang dengan berWAKAF membina masjid, madrasah, telaga dan macam-macam lagi bantuan yang dihulurkan.

Ketika kami pergi menziarahi orang kampung, kami dapati ada masyarakat kampung yang sangat kurang fahaman dalam agama, khususnya asas-asas fardhu ain. Lantas kami bercadang untuk mengambil pelajar dari kampung tersebut untuk belajar di Madrasah Tahfiz Al Quran At Tanwiriah dan selepas tamat pengajian akan mengajar agama di kampungnya.Kami telah meminta Kadhi Wilayah Shihnoukville, Ust Yusof untuk buat pemilihan dan akhirnya 2 orang telah terpilih iaitu Sulaiman bin Umar dan juga Abd Aziz bin Yunos.

Ummat Islam Kemboja bukan hanya sekadar memerlukan bantuan dari segi material sahaja bahkan mereka juga dahagakan ilmu agama. Alhamdulillah, kami mendapat dua orang dermawan dari Kuala Lumpur yang sudi untuk menaja pengajian Sulaiman dan Aziz sebanyak RM500 setiap bulan sehinggalah tamat pengajian. Kos pengurusan perjalanan dari Kemboja hingga sampai di Madrasah ditanggung sepenuhnya oleh tabung WAKAF Pendidikan Tahfiz Madrasah.

Alhamdulillah, dengan izin Allah swt serta berkat kesabaran Sulaiman dan Aziz akhirnya mereka dapat menamatkan hafazan 30 juzuk Al Quran dan seterusnya menyambung pengajian Bahasa Arab di Pusat Bahasa Antarabangsa Universiti Fathoni Yala, Thailand.

Selain menerima pelajar dari Kemboja pihak Madrasah telah berjaya membeli sebidang tanah seluas 3 ekar untuk dibangunkan sebuah madrasah di sana. Alhamdulillah, seorang dermawan dari Malaysia telah meWAKAFkan sebanyak RM14,000.00 untuk membeli tanah di Kampung Preak Sangkae. Akhirnya, Madrasah Tahfiz Al Quran At Tanwiriah telah berjaya dibina di sana dan sekarang telah mempunyai 80 orang pelajar yang kebanyakkannya ialah anak-anak yatim. Pihak kami juga telah membayar saguhati setiap bulan untuk seorang guru, dari sumber tabung WAKAF Pendidikan Tahfiz Madrasah.

Sekarang Sulaiman telah bergelar ‘Ustaz’ yang mengajar Al Quran dan agama untuk masyarakat di sana, dikalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Amatlah beruntung orang yang menginfaqkan/meWAKAFkan hartanya untuk agama kerana beroleh pahala jariah yang berterusan dan mudah-mudahan akan beroleh kebahagian hidup di dunia dan di akhirat,amin. Wassalam.

Scroll to Top